Titik misteri yang dikesan dalam radar Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sekitar ruang udara di utara Malaysia sebelum hilang disahkan sebagai pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak Sabtu lalu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengesahan pesawat tersebut dibuat berdasarkan data kasar dari satelit yang diperoleh dari penyedia data servis satelit.
“Berdasarkan data kasar dari satelit yang diperoleh, kami boleh mengesahkan disini bahawa pesawat tersebut adalah pesawat MH370 dan pengesahan ini dilakukan setelah hasil penelitian data-data dari pihak-pihak yang terlibat seperti FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia,” kata Najib dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang tadi.
Meskipun terdapat laporan media mengatakan bahawa pesawat tersebut dirampas, Najib menyatakan bahawa mereka menyiasat segala kemungkinan yang ada.
Najib menerangkan dalam fasa pertama pencarian pesawat tersebut, data radar dari TUDM menunjukkan bahawa terdapat sebuah pesawat yang tidak dapat disahkan jenisnya telah berpatah balik dan telah melalui laluan penerbangan melewati Selat Melaka.
“Berdasarkan maklumat penting itu juga, kita telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat itu merangkumi kawasan Selat Melaka hingga ke Laut Andaman dan menerusi data dari satelit juga, kami boleh merumuskan bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Kedudukan (ACARS) telah dimatikan sebelum pesawat tersebut sampai di ruang udara Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan tidak lama itu pula, ‘transponder’ pesawat tersebut pula dimatikan berhampiran ruang komunikasi udara sempadan Malaysia dan Vietnam,”.
Di saat itulah juga, radar utama TUDM menunjukkan bahawa terdapat sebuah pesawat yang dipercayai adalah pesawat MH370 telah terbang ke arah barat dan berpatah balik ke Semenanjung Malaysia sebelum bertukar arah ke barat daya, namun jenis dan identiti pesawat tersebut tidak dapat disahkan,”.
Gerakan pesawat tersebut sangat konsisten seperti seseorang yang sangat mahir mengendalikan penerbangan dan sengaja mengubah haluan pesawat tersebut.
Menurut data tersebut juga, komunikasi terakhir antara pesawat tersebut dengan satelit adalah direkodkan pada jam 8.11 pagi (waktu Malaysia) pada Sabtu lalu dan pasukan penyiasat kini membuat kiraan untuk mengetahui kejauhan pesawat tersebut terbang setelah komunikasi terakhir dengan satelit itu tercatat.
Beliau menambah, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kedudukan sebenar pesawat tersebut setelah komunikasi terakhir dengan satelit itu dilakukan.
Dengan data terbaru yang konsisten dengan komunikasi pesawat dan satelit itu, penguasa penerbangan Malaysia dan antarabangsa telah membuat satu ketetapan bahawa pesawat tersebut berkemungkinan berada antara satu dari dua koridor penerbangan disitu.
“Koridor yang dimaskudkan itu adalah koridor utara yang menjangkau sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi dan pasukan penyiasat kini sedang meneliti informasi tersebut,”.
Dengan perkembangan informasi dari satelit itu, gerakan mencari dan menyelamat di Laut China Selatan telah dihentikan dan fasa mencari dan menyelamat itu kini telah diubah penggunaan asset-aset yang terlibat.
“Kami kini bekerjasama dengan negara-negara yang relevan berdasarkan informasi tersebut terutama dalam perkongsian maklumat pencarian termasuk data dari radar,” kata Najib lagi
0 comments:
Post a Comment