Tuesday, July 08, 2014

AC Mizal kembali dengan ForUToC

Sebelum ini Datuk Ac Mizal pernah menyatakan yang beliau akan mengembalikan zaman kegemilangan 4U2C. Namun anggota kumpulan tersebut masih menjadi teka teki.

Teka-teki mengenai anggota baru kumpulan ForUToC akhirnya terjawab apabila Datuk AC Mizal tampil mendendangkan lagu Aidilfitri paling epik, Bergema Takbir Di Pagi Raya bersama enam pelawak popular pada Majlis Pelancaran Album Havoc Raya dan Al Nuraa, baru-baru ini.

Mereka adalah anak kelahiran program realiti Raja Lawak iaitu Shuib (Sepahtu), Rahim (Sepahtu), Ajak (Shiro) serta Achey, Abam dan Fard dari kumpulan Bocey.

Sumber:Harian Metro - ForUToC
Bagaimanapun, AC atau nama sebenar Mizal Zaini, 42, berkata, penubuhan semula kumpulan itu bukan sebagai pengganti kumpulan lamanya, 4U2C sebaliknya projek istimewa sempena Aidilfitri ini.

“Projek istimewa ini juga bagi mengimbau kembali kenangan bersama anggota lama serta mengubat kerinduan peminat terhadap 4U2C.

“Dengan itu, kami sudah memberi nafas baru kepada lagu Bergema Takbir Di Pagi Raya 2014 yang dimuatkan dalam album Havoc Raya terbitan Sony Music berserta 16 lagu lain dendangan pelbagai artis,” katanya.
Menurutnya, pemilihan ahli baru berdasarkan kebolehan mereka menyanyi dengan baik ketika membuat persembahan di program Raja Lawak.

“Lagi pun kami rapat dan sejak awal, saya yakin mereka akan menerima tawaran untuk menjadi anggota baru kumpulan ini. Dalam lagu Bergema Takbir Di Pagi Raya 2014, mereka yang menyanyi dan saya hanya bawa bahagian rap sahaja,” katanya.

Tambah AC lagi, dia percaya anggota lama tidak kisah mengenai ‘come back’ kerana mengetahui mereka sudah tidak minat berkecimpung dalam dunia hiburan.

“Hari ini secara rasminya kemunculan pertama kumpulan baru ForUToC di industri hiburan tanah air dan memang anggota lama tidak tahu mengenai perkara ini. Mereka memahami dan tidak akan sentap, lagi pun mereka sudah tak mahu menyanyi lagi,” katanya.

Dalam pada itu, AC berkata, dia mahu barisan pelawak itu bersikap profesional dan serius ketika membuat latihan serta persembahan.

“Proses rakaman lagu, rentak tarian dan latihan persembahan semua berjalan lancar kerana mereka memahami konsep ForUToC. Malah, mereka mempelajari koreografi lagu itu dalam tempoh dua jam dan rentak tarian diubah sedikit demi keselesaan pergerakan ang­gota.

“Saya bukan sekadar mahu orang memuji persembahan kumpulan ini hebat sebaliknya luar biasa kerana anggota pandai menyanyi dan menari. Justeru, setiap anggota kumpulan ini perlu membawa imej ForUToC ketika persembahan bagi peminat mengimbau kembali zaman kegemilangan kumpulan itu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top