Tuesday, March 11, 2014

Gambar pemegang pasport curi kini tersebar


(kiri) Pouria Nour Mohmammad Mahrdad dan (kanan) masih belum dikenal pasti

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan salah seorang pemegang pasport curi yang menaiki pesawat Boeing 777 MH370 tiada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Menurutnya, pemilik pasport itu ialah seorang remaja warga Iran berumur 19 tahun yang cuba berhijrah dan menetap di Jerman.

"Pemilik pasport palsu itu bernama Pouria Nour Mohmammad Mahrdad yang cuba keluar negara untuk berhijrah dan menetap di Jerman manakala identiti seorang lagi masih dikenal pasti.

"Pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Jerman dan kami diberi maklumat ibunya sedang menunggu ketibaannya di Frankfurt.

“Apabila menyedari anaknya tidak tiba di sana, ibunya mula menghubungi pihak berkuasa untuk mengetahui keadaan anaknya," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Khalid lagi, pihak berkuasa sedang mengesan identiti seorang lagi penumpang yang turut memegang pasport curi.

Polis mendedahkan gambar kedua-dua individu berkenaan hari ini

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini sedang menyiasat punca kehilangan pesawat MH370.

"Kami sedang fokus dan kaji motif kehilangan pesawat, antara motif yang berkemungkinan ialah sabotaj, rampasan, masalah psikologi dan masalah peribadi penumpang dan krew," katanya  lagi.

Beliau turut berharap agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan pihak berkuasa lebih masa untuk membuat siasatan ke atas kehilangan pesawat MH370.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top