Tuesday, March 11, 2014

PRK Kajang:Mei fun VS Wan Azizah

Mei Fun VS Wan Azizah
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menyaksikan pertandingan satu lawan satu melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun dan calon PKR Datin Wan Azizah Wan Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Seksyen 15, Bandar Baru Bangi pagi ini.

Chew yang juga Naib Presiden MCA, menyerahkan borang pencalonannya kepada Pengurus SPR bagi PRK DUN Kajang, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman pada jam 9.07 pagi manakala Wan Azizah yang juga Presiden PKR, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

"Saya mengumumkan calon disahkan bertanding di DUN Kajang adalah Chew Mei Fun dan Wan Azizah," katanya Hasan dalam pengumumannya selepas proses penamaan ditutup pada jam 10 pagi.

Pilihan raya kecil DUN Kajang bermula hari ini dengan proses penamaan calon diadakan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, jam 9 pagi.

Chew Mei Fun tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.55 pagi dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Wan Azizah tiba di pusat penamaan calon pada jam 9.05 pagi sambil diiringi suaminya, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kekosongan kerusi itu ekoran perletakan jawatan penyandangnya dari PKR iaitu Lee Chin Cheh.

Susulan itu PR selepas mengadakan mesyuarat majlis pimpinannya telah bersetuju untuk meletakkan Anwar yang Ketua Pembangkang sebagai calon mereka.

Difahami tujuan perletakan jawatan Lee dan meletakkan Anwar sebagai calon adalah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Pada 17 Februari pula, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan bertanding di DUN Kajang bagi memastikan Menteri Besar Selangor yang sedia ada, terus berkuasa.

Namun, Mahkamah Rayuan pada 7 Mac membenarkan rayuan pendakwa dengan mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun tetapi dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000, sementara menunggu peguamnya mengemukakan permohonan untuk rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar kemudian membuat pengumuman tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang tetapi akan turun berkempen membantu Pakatan Rakyat, dimana beliau telah digantikan oleh Wan Azizah, sebagai calon PR.

Tindakan Anwar itu mendorong langkah Zaid Ibrahim untuk menarik diri dari bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Kempen akan berlangsung selama 12 hari dan hari mengundi pada 23 Mac 2014. Sebanyak 18 pusat undi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu tiga buah pusat mengundi awal dan 15 buah pusat mengundi bagi pengundian biasa-astroawani

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top