Wednesday, April 16, 2014

Gempar!!!Ceramah Ust Don Disiasat

Stesen televisyen TV AlHijrah sedang meneliti isi kandungan beberapa video yang disebarkan di laman sosial termasuklah tuduhan kononnya ustaz selebriti Don Daniyal yang dikatakan telah menyampaikan ceramah bersama hadis-hadis palsu.

Google Image
Pegawai Perhubungan Korporat TV AlHijrah, Irwan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga akan mengambil kira beberapa pandangan pihak-pihak yang berpengetahuan soal Agama Islam sebelum memutuskan bentuk tindakan yang sepatutnya.

"Kami sedang kumpulkan beberapa perkara dan mengkaji semula semua video dan komen yang disebarkan itu sama ada daripada program televisyen terbitan TV Al Hijrah ataupun video lain.

"Kami akan rujuk kepada ustaz dan alim ulama yang lebih pakar untuk menilai video tersebut serta menunggu penjelasan daripada Ustaz Don sendiri sebelum memutuskan apa-apa tindakan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini pada Rabu.

Irwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran video ceramah Ustaz Don di Internet ketika ini.

Ustaz selebriti itu dikatakan telah menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.

Malah, pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk kepentingan semua umat Islam.

Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.

Selain mengadakan ceramah-ceramah peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis, pukul 9.30 malam.

Sementara itu, Irwan menjelaskan, segala program yang diterbitkan oleh stesen televisyen itu terutamanya rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don akan dinilai kandungannya sebelum dilepaskan untuk disiarkan kepada umum.

"Pihak kami ada unit bagi mengkaji topik yang ingin dibincangkan oleh Ustaz Don. Kandungan yang diberikan biasanya disemak dahulu oleh pakar-pakar agama sebelum ia diluluskan untuk siaran," ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Don tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan reaksinya kerana ketika ini beliau berada di United Kingdom untuk menjalani penggambaran sebuah program berbentuk keislaman.Mstar

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top