Sponsored Links

Wednesday, March 05, 2014

Perkembangan Terkini Krisis Russia dan Ukraine

10:24


Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam memberi amaran bahawa ancaman untuk mengenakan sekatan terhadap Moscow sebagai hukuman kerana menceroboh Semenanjung Crimea di Ukraine bakal memberi kesan terhadap negara-negara di Barat.

Putin semalam berkata, sekatan tersebut akan menyebabkan penduduk di Barat mengalami penderitaan.
Beliau juga menuduh Barat terlibat dalam konflik di Ukraine dengan menyokong rampasan kuasa yang melanggar perlembagaan.

Dalam pada itu, Putin memberitahu bahawa bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych tidak mempunyai masa depan dalam politik negara itu.

Menurutnya, Rusia memberi perlindungan kepada beliau bagi menyelamatkan nyawa pemimpin itu.
Beliau juga memberitahu bahawa Moscow mempunyai hak untuk menggunakan kekuatannya bagi melindungi rakyat Rusia di Ukraine.

Putin mengeluarkan kenyataan itu selepas mengarahkan berpuluh-puluh ribu askar Rusia yang menyertai latihan ketenteraan di sempadan Ukraine kembali ke pangkalan mereka.

Latihan tentera besar-besaran itu melibatkan 150,000 askar, beratus-ratus kereta kebal dan berpuluh-puluh pesawat.

Kuasa-kuasa di Barat telah berbincang untuk melakukan tindak balas ke atas Rusia yang menceroboh wilayah Ukraine yang mempunyai ramai penduduk Rusia itu.

Ekoran pencerobohan itu, Amerika Syarikat (AS) telah menggantung kerjasama ketenteraan dengan Rusia.
Rusia kemudian memberi reaksi balas dengan menyatakan, sistem kewangan di AS akan mengalami kemusnahan jika satu sekatan ekonomi dilaksanakan ke atas Moscow.

Konflik di Ukraine dengan Rusia berlaku selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Viktor Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.

Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara anggota-anggota polis dengan penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.

Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Rusia kemudian tidak mengiktiraf Turchnov sebagai Presiden sementara.

Sebaliknya, Rusia masih mengiktiraf Yanukovych sebagai Presiden Ukraine kerana beliau mempunyai hubungan amat rapat dengan Moscow.-KOSMO

Written by

Breaking News brings to you the latest News, Entertainment, Economy, Political dan Info from Malaysia and around the Globe

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top