Sponsored Links

Saturday, July 26, 2014

Isu Raja Muda Selangor Memeluk Agama Kristian

10:30

Polis Menyiasat Dakwaan Palsu
Polis menafikan dakwaan yang tersebar di laman sosial kononnya Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, keluar agama Islam dan memeluk Kristian Katolik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihak Istana Selangor ada menghubunginya semalam, dan memaklumkan berita yang tersebar itu adalah palsu.

“Kita sudah menerima satu laporan berhubung kes ini di Selangor dan kita bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengesan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ini.

“Perkara tidak betul ini bukan saja merunsingkan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan kerabat diraja, malah merunsingkan masyarakat yang akan tertanya-tanya perkara ini,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media majlis pemakaian pangkat dan pelancaran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) di sini, semalam. 

Sebelum itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh portal World News Daily Report bahawa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah keluar daripada Islam dan menukar agamanya kepada agama Katolik telah menggemparkan seluruh penganut agama Islam di negara ini.

Dalam laporannya pada 24 Julai lalu, portal berita itu menyatakan bahawa “Satu-satunya anak lelaki dan waris Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Amir Shah, telah mengejutkan masyarakat Islam dunia dengan berita yang disifatkan majalah People’s  sebagai  ‘kisah benar Romeo dan Juliet zaman ini’.”

“Raja Muda Selangor itu meletakkan semua jawatan serta peluang menaiki takhta untuk mengikut kata hatinya dan mengahwini model yang juga bintang terkenal Sepanyol, Cristina Gomez, 16. Nama Cristina mula dikenali apabila stesen televisyen merakamkan gambarnya ketika menonton perlawanan bola sepak.”

Namun demkian setelah diteliti dan diperiksa, nama Cristina Gomez itu tidak tergolong dalam senarai nama model terkenal.

Dalam masa yang sama, portal berita tersebut juga telah melaporkan maklumat yang salah berkenaan Tengku Amir kerana pada tahun ini, usia Tengku Amir adalah 23 tahun dan bukannya berusia 21 tahun.

Laporan palsu itu mendakwa “upacara pembaptisan bekas umat Islam itu yang diadakan minggu ini di Santa Maria Cathedral, di Braga, Portugal mengundang kritikan hebat umat Islam sedunia ke atas bekas waris takhta Selangor itu.”

Ia juga berkata: “Pasangan kekasih itu akan dikahwinkan bulan ini di San Marco Cathedral di Venice dan lokasi berbulan madu mereka masih belum diketahui.”

Walaubagaimanapun, lewat tengah hari ini, didapati portal tersebut tidak lagi dapat diakses.

Written by

Breaking News brings to you the latest News, Entertainment, Economy, Political dan Info from Malaysia and around the Globe

0 comments:

Post a Comment

 

© 2013 Breaking News. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top